Pages

Sunday 16 May 2021

Cik B40 Dan Encik T20 (Bab 8)

 


AYLIN senyap aje berjalan kat belakang Ray. Tak berani nak buka mulut ajak bersembang. Nak bantah apa-apa lagilah tak. Walaupun dia rasa yang Ray sepatutnya sporting dengan aturcara yang penat-penat urusetia event ni usahakan.

Sekarang ni diorang berdua tengah menyusuri gigi pantai. Malam gelap, mujur ada lampu-lampu yang tak berapa terang di sepanjang jalan ni. Tak adalah dia tersepak batu.

Tengah-tengah dia melayan fikiran sendiri, dia perasan Ray menoleh sekejap pada dia yang ketinggalan beberapa langkah kat belakang ni.

Ray perlahankan langkah. Sambil-sambil tu membuka jam dari pergelangan tangan.

Bila Aylin dah berada di sebelahnya, Ray hulur jam pada perempuan tu.

“Sepanjang event ni berjalan, saya nak awak sentiasa pakai jam ni.” Kata-kata tanpa memandang dia.

Aylin berjeda sekejap dan berkira-kira sama ada nak bersetuju sambut pemberian tu atau menolak aje secara baik.

“Kenapa saya pula yang kena pakai jam tu? Itukan jam Mr. Ray?” Dia cuba berhelah.

“Sebab jam sayalah, saya bagi pada awak.” Lelaki tu tekan suara. Lepas tu sua lagi jam tu pada dia.

Aylin diam lagi. Berbelah-bahagi nak ambil. Tapi paksa juga diri. Lepas tu dia simpan jam tu poket seluar.

“Pakai sekarang,” arah lelaki tu lagi.

Aylin geleng.

“Saya tak pernah pakai jam tangan. So saya tak reti macam mana nak pakai.”

Terdiam sekejap Ray dibuat penyataan tu. Langsung dia tak boleh nak hadam betapa kampungnya staf dia ni.

Ray berhenti melangkah. Berdiri hadap Aylin.

Aylin agak pelik dengan tindakan tanpa signal ni. Terhenti dia pun. Hadap lelaki tu. Dongak sikit kepala cari anak mata lelaki tu.

“Bagi sini jam tu.” Lelaki tu minta.

Aylin memang bukan jenis manusia yang tahu nak baca fikiran orang. Dalam hati merungut-rungut tu dia patuh aje. Kembalikan jam pada orang tu. Letak atas telapak tangan.

“Tangan.” Lelaki tu minta lagi.

Dia senyap menyerahkan tangan kanan.

Ray pun melilitkan jam tu pada pergelangan tangan Aylin. Pakaikan jam mahal tu untuk perempuan tu.

Terdiam Aylin. Langsung dia tak terfikir lelaki ni nak buat macam ni. Selama ni dia fikirkan Mr. Ray geli nak dekat-dekat dengan budak kampung macam dia.

“Jam ni jenis waterproof. So awak boleh bawa jam ni mandi. Tak payah buka langsung.”

“Dua puluh empat jam kena pakai?!” Bukan calang-calang terkejut perempuan tu. Ini level beruk-beruk punya terkejut.

Ray selamba angkat kening, tak rasa bersalah sikit pun.

“Kan saya dah kata tadi, sepanjang event ni awak kena pakai.”

Aylin diam lama. Pelik siak lelaki depan dia ni. Akal fikiran sentiasa tak berada di dalam kotak.

Tiba-tiba lelaki tu kerling dia. Dia masih merenung lelaki tu dengan muka berkerut bertrilion.

Lelaki tu angkat kening lagi dengan reaksi yang dia tunjukkan. Lepas tu senyum kecil. Kembalikan tumpuan pada kerja melilit jam pada tangan dia.

“Awak ni jakunlah, Aylin. Suka sangat buat muka terkejut macam tu. Hodoh piang tau.”

Mencemik Aylin dengar tuduhan tu. Direntap tangannya dari pegangan lelaki tu. Sorok tangan ke belakang.

Lelaki tu relaks aje tergelak. Tak pelawa dia, lelaki tu kembali melangkah santai di gigi air.

Beberapa tapak tinggalkan dia, lelaki tu menoleh.

“Nak saya dukung awak pula ke baru awak nak berjalan?” Sindir!

Geram gila Aylin diejek semacam tu. Terus dia berjalan luas.

Ray tertawa lagi. Berjalan tak jauh dari dia.

By the way, Aylin. Mak ayah awak kerja apa ya? Dah lama saya nak tanya awak pasal benda ni.”

“Siang, ayah saya tukang kebun sekolah. Malam jadi jaga kat sekolah yang sama.” Aylin menjawab perlahan walau mulut masih memuncung.

“Ayah awak buat dua kerja?”

Aylin angguk. “Sebab nak sara family saya yang besar tu. Mana cukup kalau kerja satu aje.”

Ray terdiam sekejap. “Mak awak kerja apa?”

“Mak saya ambil upah menjahit.”

Ray mengangguk-angguk faham.

“Adik beradik awak berapa orang?”

“Lapan.”

“Awak yang sulung?”

“Haah.”

I see...” Ray mengangguk-angguk lagi.

Aylin jadi pelik sikit bila lelaki ni tetiba macam ajak dia bersesi suai kenal pulak. Dia jeling sekejap lelaki tu.

“Mr. Ray tengah buat survey ke? Nak bagi bantuan raya pula ke?”

Tak pasal-pasal soalan bernada suspicious tu buatkan Ray ketawa. Tergeleng-geleng.

“Saya just curious.”

Sekarang giliran Aylin pula mengangguk faham.

Senyap sekejap.

“Ada apa-apa lagi yang patut saya tahu tentang awak, Aylin?” Suara tu kembali kedengaran.

Aylin menoleh sekejap. Lepas tu senyum sendiri. Kembali pandang depan.

Family saya orang kampung aje. Tak ada apa-apa yang patut dibanggakan pun. Mr. Ray sendiri kata orang miskin ni pemalas. So saya seganlah nak cerita pasal diorang pada Mr. Ray. Kitorang tak segigih orang-orang kaya macam Mr. Ray.”

Ray diam lama dengar pengakuan tu. Tak tahulah apa yang difikirkan lelaki tu, tapi Aylin memang tak terasa nak bercerita lanjut pasal orang tua dia.

“Pernah tak dalam sehari tu awak tak makan, Aylin?” Bertanya lagi.

Aylin angguk tenang aje.

“Dalam sebulan mesti akan ada sekurang-kurangnya sekali. Lagi-lagi bila masuk hujung bulan.”

Ray diam.

Aylin gelak lepas tu bila mengingatkan peristiwa silam.

“Tapi selalunya bila beras dah habis, mak saya akan masuk hutan cari sayur-sayur hutan. Ayah pula pergi memancing ikan untuk buat lauk pada kitorang adik-beradik.”

Then ikan tu mak awak gorenglah?” Ray cuba meneka kemungkinan yang paling minimum. Sebab dia rasa tak logik mak Aylin nak masak lauk mewah-mewah. Mesti banyak pakai bahan masakan. Diorang mana mampu nak beli.

Aylin geleng.

“Bila masuk hujung bulan, biasanya gas dalam tong pun habis. Nak goreng, garam pun dah habis juga. Jadinya ikan tu kitorang bakar.”

“Bakar kosong macam tu aje? Tak ada garam kunyit?”

“Mmm.” Aylin angguk satu kali. Senyum lagi.

“Minyak?”

“Pun dah habis.”

Ray terdiam lama lagi. Seakan-akan termenung.

Senyap lagi antara diorang.

Beberapa waktu macam tu, kemudiannya terdengar Ray mendengus halus.

“Kuat betul semangat mak ayah awak besarkan awak dengan adik-adik.” Gumam perlahan. Dengar tak dengar aje kat telinga Aylin.

Aylin senyum sorang-sorang. Tetiba rasa rindu pula pada mak ayah kat kampung.

“Pernah tak waktu hujan awak berlari tampung air hujan sebab atap bocor?”

Tak semena-mena soalan tu buatkan Aylin tergelak.

“Selalunya waktu hujanlah yang kitorang paling kecoh. Sebab lantai bukan aje setakat kena hujan. Tapi banjir terus!”

Ray terkejut. Tak percaya sampai macam tu sekali cara Aylin membesar.

“Setiap kali lepas hujan, kenalah tunggu berhari-hari sampai banjir surut.”

“Habis tu waktu malam macam mana awak dengan family nak tidur?”

“Tidurlah atas lantai yang basah tu.” Selamba.

Bibir Ray beristighfar panjang tanpa didengari Aylin.

Ray mengangkat tangan dan menunjuk ke satu arah.

“Kita duduk situ kejap, Aylin. Nak?”

“Boleh aje.”

Lalu diorang pun menukar arah perjalanan. Daripada pesisir pantai, diorang naik menghala ke sepohon rendang.

Sampai kat bawah pokok tu, diorang duduk.

Berdua tu, diorang senyap aje pandang laut. Dua-dua layan fikiran sendiri.

“Boringlah. Kita main game sikit nak tak?” Entah apa anginnya, lelaki ni terlajak ramah pula malam ni.

Aylin mendongak bila Ray bangun dari duduk.

Game apa?”

Ray tak jawab. Cuma senyum nakal. Ray tinggalkan tempat tu dan berlalu ke pokok kelapa renek yang berada tak jauh dari situ.

Aylin tertunggu-tunggu.

Seminit lepas tu, Ray kembali bersama beberapa helai daun kelapa. Ambil tempat balik kat sebelah Aylin. Serah dua helai daun kelapa pada perempuan tu.

“Lawan anyam ketupat. Siapa kalah, kena denda.”

Seperti yang dijangka, Aylin tergelak beria dengar ajakan tu. Tak tunggu lama, laju aje Aylin setuju.

“Saya orang kampunglah, Mr. Ray... Mr. Ray salah orang ni.”

Ray senyum sendiri aje.

“Satu... Dua... Tiga!”

Dan Aylin pun dengan penuh gaya melilit daun kelapa di empat jarinya. Tangan kanan dan tangan kiri. Cekap menganyam.

Tengah-tengah dia over-confident bakal menang tu, dia menyempatkan diri nak tengok dekat mana dah lelaki tu sampai. Tapi dengan tak semena-mena, biji matanya terjojol bila tengok tangan Ray lincah dan lain macam cekap menyelit-nyelitkan daun kelapa sesama sendiri. Alamak, alamak!

Aylin kelam-kabut bila tengok ketupat lelaki tu dah nak siap. Lagi dilajukan kerjanya.

Tergelak dia bila keadaan jadi tak terkawal. Lagi dia cuba kejar lelaki tu, lagi banyak dia tersilap anyam.

Menjerit dia di dalam gelaknya.

Ray masih dengan senyum nakalnya tu.

Aylin tak nak kalah. Lalu dia pun main mengelat. Dilempang-lempangnya tangan Ray untuk melengahkan lelaki tu.

Tergelak dua-dua manusia tu.

“Apa ni, main mengelat.” Ray menjauhkan tangannya dari tamparan Aylin. Sambil tu terus menganyam.

Aylin berusaha juga mencapai tangan lelaki tu. Tergelak lagi berdua tu.

Ray makin laju. Makin cekap dan...

“Siap!” Ray letak ketupat yang kemas teranyam di atas pasir lalu mengangkat dua tangannya separas bahu.

“Alaaa!” Aylin campak ketupatnya yang tak siap tu ke arah Ray.

Ray gelak sambil menepis ketupat tu.

“Sekarang ni saya kena denda awak. Are you ready?” Lelaki tu masuk pada mode pembuli. Kerling Aylin dengan mata menyakat tu.

Aylin mencebik.

“Denda apa? Cakap aje. Ini Mas Aylin la. Malaysia Airlines sentiasa boleh, okey!”

Ray terhibur tengok Aylin membongkak. Dihulurkan dua helai daun kelapa pada perempuan tu.

“Anyam daun kelapa ni sampai jadi satu gelang tangan. Lepas tu pakaikan dekat tangan saya. Sebagai ganti pada jam saya yang awak dah ambil tadi.”

“Itu aje?” Aylin angkuh.

Ray angguk dan melayan.

“Itu aje.”

“Ceh! So kacang maaa...” Aylin dengan penuh lagak pun menyapu hidungnya dengan ibu jari. Diambil daun kelapa tu. Anyam-anyam sampai siap.

See? Sekelip mata aje dah siap. Come, come, come. Come to papa.” Aylin tayang gelang tangan tu pada pandangan Ray.

Lepas tu tanpa berfikir panjang, laju Aylin tarik tangan lelaki tu lalu memakaikan gelang tu. Sambil-sambil tu mulut membebel tak berhenti.

Ray perhati aje budak perempuan depan dia ni punya kerenah yang kebudak-budakan tu. Senyum seorang diri.

“Dah siap!” Aylin bersorak sebaik saja gelang terpakai kemas di tangan Ray. Julang dua tangan ke udara.

Ray membelek-belek gelang tu.

Amacam? Cantik karya seni saya, kan? Haaa... see the leg, okay.” Aylin masih membongkak.

Ray tunjuk muka so-so aje.

“Bolehlah... Daripada sepuluh, saya bagi tujuh bintang.”

Aylin gelak puas. Lepas tu menyelesakan duduknya. Kini menghadap laut yang luas.

Dia bersandar pada batang pokok yang besar di belakangnya. Betul-betul di sebelah Ray.

Senyap diorang lepas tu. Lama.

Ray masih membelek-belek gelang di tangannya. Khusyuk duk teliti seni sulaman perempuan tu. Tak sedar langsung dia pada dunia sekitar, sampailah akhirnya kepala Aylin terjatuh di atas bahunya. Barulah dia tersedar.

Bila toleh, tengok-tengok Aylin dah pun tertidur. Gila. Patutlah diam lama perempuan tu tadi. Dah mengantuk rupanya.

Dia mengeluh. Cuai betul Aylin ni. Waktu duduk dengan lelaki asing macam dia pun Aylin berani tidur. Buatnya dia berniat jahat, sia-sia aje kang.

Dia tepuk-tepuk lembut bahu perempuan tu.

“Aylin. Bangun ya? Jom saya hantar awak balik bilik.”

Aylin mengeluh panjang. Garu-garu pipi sambil mata terus pejam.

“Mana ada saya tidur...”

Tup-tup perempuan tu pergi mengiring hadap dia lalu tangan tu pergi peluk pinggang dia pula. Kepala diselesakan lagi letaknya di dada dia. Dahi menyentuh tengkuk dia.

Okey, kat sini memang Ray betul-betul terdiam. Jantung kat dalam habis huru-hara macam nak kiamat.

Ray pandang wajah yang polos tu. Tapi tanpa dapat ditahan-tahan, anak matanya jatuh pada seulas bibir yang merekah tu.

Sekali lagi jantung kat dalam ni pergi buat head banging.

Dia telan liur. Lekas-lekas berpaling arah lain. Beristighfar.

Terdengar Aylin merengek halus di dadanya. Tak jelas butir bicara.

Di telinga Ray, suara tu terlalu seksi.

Ray gigih bertahan. Nak bernafas pun bukan main punya susah.

Sesaat...

Dua saat...

Tertutup rapat dua matanya. Dia tunduk, hampiri wajah perempuan tu.

Betul-betul seinci sebelum bibirnya meragut bibir suci tu, dia berhenti. Dikuatkan tekadnya lalu dia berpaling pergi. Lekas-lekas bangun dari situ. Pegang dada yang rasa macam nak meletup.

Aylin yang tengah tidur tu terjatuh di atas tanah. Terjaga. Terpisat-pisat bangun.

Ray pandang perempuan tu.

Sorry, Aylin.”

Aylin gosok-gosok lagi dua mata.

“Saya hantar awak balik jom? Dah tengah malam ni.” Ray tak berlengah.

Aylin nampak macam masih mamai. Tapi perempuan tu tetap mengangguk pada permintaan lelaki ni.

Lega sikit Ray. Bangun dia dari tempatnya.

Sepuluh minit lepas tu, diorang selamat berada di hadapan bilik resort Aylin. Aylin gigih mencari kunci bilik dalam poket seluarnya. Lepas tu gigih pula dia membuka pintu. Bila dah berjaya buka pintu, terus dia masuk bilik.

“Aylin.” Suara Ray kedengaran sewaktu tangan dia nak merapatkan daun pintu.

“Mmm?” Dia dengan naif pun menoleh pada lelaki tu.

Ray nampak tengah di dalam rasa bersalah. Lama dan dalam lelaki tu pandang ke mata dia.

“Saya minta maaf sebab sebelum ni banyak merendah-rendahkan keluarga awak.”

Aylin terdiam.

Ray senyum kecil. Tapi jelas ketara rasa berdosa kat situ.

“Tak semua manusia jadi miskin disebabkan sifat malas. Kadang-kadang diorang cuma tak ada peluang nak bela nasib diorang. Baru malam ni saya terfikirkan hal ni, lepas saya dengar sendiri semuanya dari awak. Saya minta maaf, Aylin.”

Aylin diam juga. Tapi sesaat lepas tu, perlahan-lahan terukir senyuman manja kat bibir perempuan tu.

“Mmm.” Perempuan tu angguk satu kali.

Tak tahu kenapa dia senang nak maafkan lelaki ni.

Ray senyum juga untuk perempuan ni.

“Saya pergi dulu.” Minta diri.

Aylin angguk satu kali lagi.

“Jalan baik-baik.” Dia ikhlas memaafkan lelaki ni.

Lelaki tu pula mengangguk. Lepas tu melangkah pergi.

Bila lelaki tu dah jauh, barulah Aylin merapatkan daun pintu.

Dia betul-betul dah mengantuk masa ni. Lepas aje cuci muka dan tukar baju, dia terus dapatkan katil.

Betul-betul waktu diri nak kembali terlena, dia terdengar telefon pintarnya berbunyi.

Lemah-lemah tu dia capai objek tu. Buka WhatsApp. Ada satu mesej dari Ray.

Have a nice dream. Goodnight.

Dia boleh bayangkan Mr. Ray senyum kacak bersama lekuk dalam di pipi kiri dan kanan. Auto cair dia kat situ. Tersenyum sorang-sorang.

Dia nak balas pesanan orang tu, tapi masa ni mata betul-betul dah tak nak bagi kerjasama.

Sudahnya terlelap dia kat situ sambil tangan pegang telefon...

 

~: DONE Part 8! :~

Thanks for spending your precious time here ^_^

Kindly leave your comment, pleaseeeeeee...

Thanks again!

See you on the next part!

0 861 komen:

Post a Comment

Assalamualaikum. Hai!
Terima kasih baca.
Cer komen sikit?